KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pencabar utama di pentas Asia apabila menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan, sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok atasan carta Zon Asia Timur.
Lebih manis, penyerang prolifik JDT, Bergson da Silva turut mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan berkenaan, sekali gus membantu pasukan meneruskan momentum positif dalam kempen ACLE musim ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya, penyerang naturalisasi Harimau Malaya itu meluahkan kepuasan terhadap pencapaian pasukan yang disifatkannya sedang menikmati detik luar biasa.









