Jasin: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini, akar umbi DAP di Bemban meluahkan kekecewaan terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meletakkan calon parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Menerusi kenyataan Pusat Khidmat DAP DUN Bemban, wakil ahli dan penyokong parti itu merayu supaya kepemimpinan DAP dan PH mempertimbangkan semula keputusan berkenaan mengambil kira sentimen akar umbi serta rekod sokongan pengundi di kawasan itu.

Mereka mendakwa keputusan itu menimbulkan kekecewaan bukan sahaja dalam kalangan ahli dan penyokong di Bemban, malah di kawasan lain dalam Parlimen Jasin.

Ini memandangkan DUN Bemban adalah satu-satunya kerusi yang ditandingi DAP di kawasan berkenaan.