PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM5 bilion sehingga RM6 bilion diperlukan bagi menyelenggara rangkaian jalan Persekutuan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun Kementerian Kerja Raya setakat ini hanya menerima sekitar RM3 bilion untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.
Katanya, jumlah peruntukan semasa itu belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan masalah kerosakan jalan raya.
“Sebab itu kita tidak boleh menurap semula keseluruhan jalan. Kita hanya boleh menurap bahagian yang rosak, daripada lubang kecil hinggalah yang lebih besar, yang kita baiki dalam tempoh 24 jam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.









