KUALA LUMPUR: Eco-Shop Marketing Bhd (Eco-Shop) dijangka berdepan peningkatan kos kakitangan sebanyak RM34 juta setahun susulan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu pada Jun 2027 tidak termasuk kenaikan kos input yang berpotensi memberi tekanan tambahan kepada margin keuntungan syarikat.
Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata peningkatan kos berkenaan berkemungkinan mendorong Eco-Shop melaraskan harga jualan purata (ASP) bagi mengimbangi tekanan perbelanjaan operasi yang dijangka mula diambil kira dalam unjuran kewangan bagi tahun kewangan 2028.
Bagaimanapun, menurutnya, prospek jangka panjang syarikat kekal positif berikutan pertumbuhan industri kedai barangan murah yang disokong perubahan corak perbelanjaan pengguna ke arah produk lebih mampu milik.








