PETALING JAYA: Westports Holdings Bhd berpotensi mengalami kerugian hasil sehingga RM34.8 juta menjelang 2050 akibat gangguan operasi berkaitan paras air ekstrem, sekali gus meningkatkan keperluan pelabuhan negara memperkukuh daya tahan infrastruktur terhadap perubahan iklim.
CIMB Securities Sdn Bhd berkata, penilaian risiko iklim Westports menganggarkan gangguan perniagaan akibat paras air ekstrem boleh menyebabkan kehilangan hasil antara RM29.2 juta hingga RM34.8 juta pada 2050, bersamaan 1.5 hingga 1.8 peratus daripada hasil syarikat pada tahun kewangan 2024.
“Kerugian itu berpotensi meningkat kepada RM87.3 juta hingga RM96.8 juta menjelang 2085, atau kira-kira 4.5 hingga lima peratus daripada hasil pada tahun kewangan 2024, sekiranya risiko berkenaan semakin ketara,” katanya daam nota penyelidikan.







