Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari 5 hingga 13 November sempena dengan sambutan Deepavali pada 8 November ini.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemudahan itu diberikan kepada pelajar dan tenaga pengajar beragama Hindu di semua universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi memberikan ruang kepada mereka pulang ke kampung halaman, serta meluangkan masa bersama keluarga.
"Bagaimanapun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti akademik tidak terjejas," menurut kenyataan itu.









