SHAH ALAM – Seramai 584 peserta menyertai enam siri kelas antenatal anjuran Salam Shah Alam Specialist Hospital (SSASH) tahun ini, sekali gus membuktikan kepentingan pendidikan kehamilan dalam membantu bakal ibu bapa membuat persediaan menyambut kelahiran cahaya mata.

80 peratus daripada keseluruhan peserta merupakan pasangan yang bakal menimang anak pertama, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap pendedahan awal mengenai penjagaan ibu dan bayi sebelum memasuki alam keibubapaan.

Kelas Antenatal MEGA 2026 yang berlangsung di Hotel De Palma Shah Alam pada 18 Oktober lalu menjadi program penutup bagi siri kelas tahun ini.

Program berkenaan menghimpunkan bakal ibu bapa untuk mendapatkan pelbagai panduan berkaitan kehamilan, persediaan menghadapi kelahiran, pemakanan ibu hamil, penyusuan susu ibu serta penjagaan bayi baru lahir.