Shah Alam: Mahkamah Tinggi hari ini, memutuskan Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak boleh mengenakan larangan tanpa syarat terhadap pemeliharaan haiwan peliharaan di unit kediaman persendirian menerusi peraturan dalaman.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili bekas atlet Olimpik, Noraseela Mohd Khalid berkata, Hakim Datuk Anita Harun membenarkan sebahagian daripada permohonan anak guam mereka terhadap JMB Condominium Shang Villa.
Dalam satu kenyataan hari ini, peguam plaintif berkata, mahkamah mengisytiharkan Peraturan Dalaman 9.0 tidak boleh digunakan untuk melarang Noraseela daripada membela tiga ekor kucing di unit kediamannya.
"Mahkamah memutuskan kehadiran haiwan peliharaan di unit kediaman semata-mata tidak, dengan sendirinya, membentuk satu pelanggaran peraturan dalaman," kata mereka.






