MANILA: Salah sebuah gunung berapi paling aktif di Filipina memuntahkan tiang abu hitam setinggi ribuan meter ke udara pada Jumaat dalam satu letusan sederhana kuat yang berlangsung hampir enam minit, menurut pejabat seismologi negara itu.
Tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan di pekan dan bandar sekitar Gunung Mayon.
Namun, institut gunung berapi negara itu menaikkan tahap amaran daripada 2 kepada 3 pada skala 0 hingga 5 dan mengarahkan pemindahan penduduk dalam lingkungan enam kilometer dari kawah gunung berkenaan.
Tiang abu setinggi 3,000 meter itu beransur-ansur bergerak ke arah barat daya, meliputi kawasan penempatan penduduk berhampiran, menurut kenyataan Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.








