MANILA: Seorang bekas pemimpin pejuang Islam yang pernah menentang bapa Presiden Filipina ketika ini, Ferdinand Marcos semasa masih remaja dipilih pada Jumaat sebagai ketua menteri wilayah autonomi di selatan negara itu yang dibentuk selepas konflik bersenjata selama beberapa dekad.
Abdulraof Macacua, 69, dipilih oleh Dewan Perhimpunan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) yang mempunyai 80 kerusi dengan memperoleh 51 undi, menurut pemerhatian wartawan AFP, kira-kira sebulan setengah selepas pilihan raya wilayah yang menyaksikan partinya gagal memperoleh majoriti 41 kerusi.
Pencabar utamanya yang juga bekas ketuanya dalam kumpulan gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim, memperoleh 27 undi ketika parlimen pertama yang dipilih menerusi pilihan raya di wilayah itu mula bersidang.








