MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, tidak menutup pintu kepada kemungkinan untuk kembali ke gelanggang politik, termasuk mempertimbangkan tawaran atau cadangan berkaitan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Begitupun beliau berkata, keterbukaannya untuk mengadakan perbincangan itu tidak seharusnya dianggap sebagai pengesahan beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

"Pintu perbincangan saya sentiasa terbuka tetapi pihak lain tidak boleh menentukan pendirian saya.

"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai cadangan, tawaran dan hasrat untuk berbincang berkaitan kerjaya politik saya, perkara itu boleh dibawa ke meja perbincangan dan dibincangkan secara harmoni," katanya di pejabatnya di Klebang, di sini semalam.