TEMERLOH: Kejohanan Badminton Remaja Piala Tengku Ilisha Tertutup Pahang 2026 kini berlangsung di LCS Sport Arena, Mentakab dari 29 Oktober hingga 1 November 2026.

Kejohanan empat hari ini itu menampilkan saingan sengit daripada bakat-bakat cilik dan remaja dari seluruh pelusuk negeri ini.

Penganjuran kali ini menghimpunkan seramai 440 peserta membabitkan empat kategori usia utama iaitu di bawah sembilan tahun, bawah 11 tahun, bawah 13 tahun dan bawah 15 tahun sebagai medan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

Kejohanan dikendalikan Persatuan Badminton Daerah Temerloh yang bertindak sebagai wakil rasmi bagi pihak Persatuan Badminton Negeri Pahang. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan pihak persatuan dalam mengakar budaya sukan serta membangunkan potensi pemain muda secara tersusun.