TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Jumaat berkata bahawa pergerakan dua kapal tangki minyak dihentikan selepas mengalami insiden yang tidak diperincikan ketika cuba melalui laluan yang dianggap tidak dibenarkan oleh Teheran di Selat Hormuz.

“Dua kapal tangki minyak yang melakukan kesalahan, masing-masing di bahagian timur dan barat Selat Hormuz, cuba melalui laluan yang tidak dibenarkan sebelum mengalami insiden dan ditahan di perairan selatan selat itu,” menurut kenyataan IRGC.

Kenyataan itu menyebut, kedua-dua kapal berkenaan mematikan semua sistem navigasi dan cuba keluar melalui laluan tidak dibenarkan dengan sokongan tentera Amerika Syarikat (AS) yang pengganas.

IRGC tidak memperincikan jenis insiden yang berlaku, sehari selepas angkatan tentera Iran memaklumkan sekurang-kurangnya empat kapal tangki minyak berhenti di kawasan itu selepas terkena periuk api.