Kuala Lumpur: Hong Leong Bank Bhd (HLB) memeterai kerjasama strategik dengan UnionPay International (UPI) bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran menggunakan kod QR di lebih 120 juta premis perniagaan di China serta premis terpilih di Hong Kong, Macau dan Thailand.
Kerjasama itu membolehkan pelanggan HLB membuat pembayaran terus menerusi fungsi HLB QR Pay dalam aplikasi HLB Connect, sekali gus memperluas pilihan transaksi ketika melancong atau menjalankan urusan perniagaan di luar negara.
Kemudahan berkenaan memanfaatkan rangkaian pembayaran UPI yang turut dihubungkan dengan Weixin Pay serta membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga atau menambah nilai dompet digital secara berasingan.








