PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang ditahan di Taiwan kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan didakwa sebenarnya menjadi mangsa eksploitasi sindiket.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata dakwaan itu berdasarkan maklumat dan bukti dikemukakan keluarga individu terbabit, termasuk mereka dipercayai dipaksa melakukan aktiviti berkenaan selain pasport dipegang pihak sindiket.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Luar bagi membincangkan nasib rakyat Malaysia terbabit serta menyelaraskan usaha membantu keluarga mereka.

Jelasnya, berdasarkan maklumat dikemukakan keluarga menimbulkan persoalan mengenai kebebasan individu terbabit membuat keputusan dan keadaan sebenar yang membawa kepada pembabitan mereka dalam aktiviti berkenaan.