GEORGE TOWN: Pembangunan Pulau Silikon di Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada pembinaan Green Tech Park seluas 700 ekar pada 2027, selepas kerja-kerja penambakan seluas 500 ekar daripada keseluruhan 1,270 ekar kawasan Fasa 1 berjaya diselesaikan sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kawasan yang telah ditambak itu mewakili 39.4 peratus daripada keseluruhan kawasan Fasa 1, manakala tapak seluas 64.85 ekar turut disediakan pada Mei lalu bagi pembinaan depoh Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

"Menjelang 2027, tumpuan pembangunan Pulau Silikon adalah kepada Green Tech Park seluas 700 ekar yang dirancang sebagai hab industri teknologi tinggi hijau, pintar dan mampan, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).