LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kepada Max Dowman bahawa dia "bukan berada di Disneyland" selepas bintang muda itu dilayangkan kad merah ketika The Gunners mengalami kekalahan mengejut dalam saingan Piala Liga Inggeris kepada Fleetwood.

Juara Liga Perdana Inggeris itu mengalami antara kekalahan paling memalukan dalam sejarah kelab apabila tewas 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti di gelanggang Fleetwood, kelab divisyen empat, pada Selasa. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa permainan sebenar dalam aksi pusingan keempat.

Lebih memburukkan keadaan Arsenal, Dowman dilayangkan kad merah lima minit sebelum tamat masa permainan sebenar.

Walaupun keputusan mengusir Dowman kerana cuba menendang Harrison Neal dilihat agak keras, Arteta tidak berpuas hati dengan pemain berusia 16 tahun itu dan memberikan teguran tegas ketika pemain tengah berkenaan berjalan keluar dari padang.