SHAH ALAM: Ketetapan berhubung Perjanjian Kepercayaan dan Sokongan (CSA) antara kerajaan negeri Selangor dengan BERSATU dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas semua perincian rundingan dimuktamadkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata rundingan dengan BERSATU sedang berjalan dan asas persefahaman telah dicapai, namun beberapa perkara sensitif masih perlu diperhalusi.
Beliau berkata kerjasama yang diwujudkan pada peringkat Persekutuan turut memudahkan usaha melaksanakan pendekatan sama di Selangor bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
"Memang ada rundingan dengan BERSATU dan sekiranya menjadi, mereka akan memberikan sokongan secara en bloc, tetapi kekal sebagai pembangkang. Asas dasar sudah ada, cuma mungkin terdapat beberapa perincian yang sedikit sensitif dan perlu diambil kira," katanya.










