Sungai Buloh: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengembangkan perniagaan motosikal berkuasa tinggi menerusi pelancaran ekosistem rangkaian BLU yang merangkumi BLU Nexus, BLU Universe dan BLU Point.
Inisiatif itu turut menyokong sasaran syarikat meningkatkan penawaran daripada tujuh kepada lebih 20 model import siap dipasang sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) dalam beberapa tahun akan datang.
Menurut HLYM, langkah itu susulan pertumbuhan pasaran motosikal berkapasiti 250cc dan ke atas yang mencatat peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 73 peratus antara 2025 hingga 2026, dengan potensi mencapai 110,000 unit dalam jangka sederhana.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yamaha Motor Co Ltd Jepun, Motofumi Shitara berkata, pelancaran itu menjadi pencapaian penting dalam usaha HLYM memperluas penawaran produk dan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan.








