KUALA LUMPUR: BMS Holdings Bhd (BMS Holdings) memeterai perjanjian usaha sama dengan Wee Tatt Traders Sdn Bhd (Wee Tatt) bagi mengembangkan perniagaan jubin, permukaan batu serta kelengkapan kediaman ke utara Semenanjung Malaysia.

BMS Holdings dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi Jubin BMS (Wee Tatt) Sdn Bhd, yang dimiliki 60 peratus oleh BMS Holdings dan baki 40 peratus oleh pemegang saham Wee Tatt.

Syarikat usaha sama berkenaan akan menjalankan jualan runcit, borong dan projek membabitkan jubin, permukaan batu, peralatan mandian serta peralatan dapur.

Kedua-dua pihak akan menyumbang sejumlah RM5 juta kepada syarikat usaha sama, merangkumi RM3 juta tunai daripada BMS Holdings dan inventori atau stok dagangan bernilai RM2 juta daripada pemegang saham Wee Tatt.