Industri perhotelan kini semakin berdepan dengan persekitaran yang mencabar ekoran perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin ‘demanding’ dan mereka juga lebih bijak dalam membuat pilihan serta perbandingan.
Kuasa wang memberi pilihan kepada pengguna untuk membuat pilihan dan trend terkini, tetamu hotel mahukan pengalaman pemberibadian (personalisation experience) yang membuat mereka rasa dihargai dan dihormati oleh pihak hotel.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, Pengurus Besar Petaling Jaya Marriot Hotel, Daniyal Ng berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada empat prinsip ‘wonderful’ yang menjadi panduan dalam penyampaian perkhidmatan dan layanan mesra.
Beliau yang memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan itu menerangkan, prinsip mengambil berat, menjadi pencerita, menampilkan luar biasa dan sikap terbuka perlu ada untuk membolehkan sesebuah hotel itu mendapat tempat di pasaran serta menawan hati tetamunya agar bakal kembali ke premis tersebut melalui pengalaman yang diperolehnya.









