KUANTAN: Lebih 25,000 peminat bola sepak dijangka memeriahkan perlawanan persahabatan antara pasukan legenda Ex Pahang FA dan Ex Kelantan FA di Stadium Darul Makmur, 7 November depan.

Antara pemain yang bakal beraksi ialah Azamuddin Akil, Razman Roslan, Fauzi Rozlan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, Juzaili Samion serta pemain legenda skuad Tok Gajah, Azizul Kamaluddin yang mewakili Ex Pahang FA.

Pemain Ex Kelantan FA pula diwakili Badhri Radzi atau lebih mesra dengan panggilan Piya, Mohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaluddin dan beberapa pemain lain.

Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex menjelaskan perlawanan persahabatan itu bukan sahaja menghimpunkan bekas pemain, malah mengimbau kenangan zaman kegemilangan kedua-dua pasukan.