KUALA LUMPUR: CAB Cakaran Corporation Bhd (CAB) dan Oiltek Global Pte Ltd menandatangani memorandum persefahaman tidak mengikat untuk meneroka usaha sama di Malaysia bagi menghasilkan ramuan makanan haiwan bernilai tinggi daripada produk terbitan minyak sawit.

Menurut kenyataan media, cadangan kerjasama itu menggabungkan pengalaman 50 tahun CAB dalam penternakan dan perniagaan berkaitan dengan pengalaman 45 tahun Oiltek dalam teknologi pemprosesan minyak sawit serta inovasi hiliran.

Kedua-dua pihak merancang menilai pemprosesan produk terpilih terbitan minyak sawit menjadi ramuan yang sesuai untuk pemakanan ternakan dan ayam, dengan sasaran meningkatkan kualiti pemakanan, kebolehcernaan serta nilai komersialnya.