SHAH ALAM - Kemalangan sebuah lori yang terbabas dan terbalik di susur Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Isnin menjadi kes ketiga yang tular di kawasan tersebut dalam bulan ini.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kes itu berlaku sekitar jam 3.24 petang.Menurutnya, lori muatan batu kerikil dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Puchong ke Puncak Alam.ARTIKEL BERKAITAN: Lori dipandu laju rempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat"Kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang hilang kawalan lalu terbabas ke susur kiri sehingga menyebabkan kenderaan tersebut mengiring terbalik ke kanan."Insiden ini mengakibatkan pemandu tersepit sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambahnya, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sementara itu, kes pertama dilaporkan kira-kira jam 4.20 petang pada 9 Oktober lalu melibatkan 12 kenderaan di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari.Kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang positif dadah mendakwa mengalami masalah brek telah hilang kawalan semasa menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan langsung melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.Kejadian kedua pula berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 16 Oktober di Kilometer 9.2 Persiaran Mokhtar Dahari.Kes itu dipercayai berpunca daripada pemandu pacuan empat roda yang bergerak menuju ke Puncak Alam terlanggar belakang sebuah lori yang bergerak di arah sama lalu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori serta kereta.