KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan empat kumpulan disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan mencuri kabel milik syarikat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Telekom Malaysia (TM) menerusi beberapa operasi yang dijalankan dari 12 Oktober hingga hari ini di sekitar Temerloh dan Mentakab.Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, sepanjang September hingga Oktober tahun ini, sebanyak dua kes samun stor simpanan kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM dilaporkan berlaku di sekitar Temerloh, Mentakab dan Lanchang.Beliau berkata, sebanyak 17 lelaki tempatan berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, dengan jumlah kerugian yang dialami pihak ECRL dan TM bagi semua kes itu dianggarkan RM75,000."Kumpulan pertama yang dikenali sebagai ‘Geng Ravi’ ditumpaskan menerusi operasi dari 12 hingga 15 Oktober. Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes kecurian besi dan kabel di tapak projek serta kilang yang telah lama ditinggalkan pemiliknya sejak Julai tahun ini, selain mengesan dua lagi suspek yang masih bebas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Dalam pada itu, beliau berkata, pada 14 Oktober, pihaknya berjaya menumpaskan 'Geng Kepala' yang dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di stor simpanan, kilang dan tepi jalan sekitar Mentakab sejak Ogos lepas.Mohd Nasyim berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai anggota 'Geng Dany' di Mentakab, semalam kerana disyaki mencuri kabel TM, selain kumpulan itu dipercayai pernah aktif melakukan kegiatan sama di sekitar Kuala Lumpur."Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel TM di tepi jalan sekitar Mentakab sejak Oktober tahun ini bersama seorang lagi rakan yang masih bebas," katanya. Dalam operasi awal pagi hari ini pula, beliau berkata, pihaknya telah menumpaskan 'Geng Mista' yang dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel TM di dalam lubang lurang dan pada tiang tepi jalan sekitar Temerloh, Mentakab, Jerantut dan Maran sejak Julai."Ketua kumpulan berkenaan turut dikenal pasti sebagai anggota Geng Kepala yang ditahan pada 14 Oktober, manakala seorang lagi suspek masih bebas," katanya. Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis kenderaan, termasuk sebuah lori, selain gelung dan potongan kabel milik ECRL, TNB dan TM, potongan besi tiang serta pelbagai peralatan mencuri dan memproses kabel.Mohd Nasyim berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama