KUALA LUMPUR - Kerajaan memperhalusi cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan awal Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan jika premis itu terpaksa ditutup.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek kesihatan anak-anak kekal menjadi keutamaan kerajaan agar pelajaran mereka tidak terjejas.Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan itu bersama dengan KPM dan Kementerian Kesihatan."Saya turut menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu. Operasi ini sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi membincangkan secara terperinci situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan dan kesannya terhadap kesihatan rakyat khususnya anak-anak yang bersekolah.Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai persediaan negara mendepani Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir serta ancaman Super El Nino yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau tahun depan."Sehubungan dengan itu, kesiapsiagaan agensi barisan hadapan mesti terus dipertingkat."Nadma perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat agar langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan," katanya.Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat mesti bergerak bersama-sama dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti."Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama," katanya. - Bernama