Kuala Lumpur: Cadangan menambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan awal Kementerian Pendidikan akan diperhalusi oleh agensi berkaitan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang tadi susulan situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya anak-anak sekolah.

"Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.

"NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan," katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.