Labuan: Pertahanan negara khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baharu apabila pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan tiba di Pangkalan Udara Labuan, semalam.

Detik bersejarah ketibaan pesawat pertama berkenaan di ruang udara negara diserikan dengan penerbangan formasi pengiring khas membabitkan enam pesawat pejuang TUDM sedia ada, iaitu dua Sukhoi SU-30MKM, dua F/A-18D Hornet serta dua pesawat BAE Hawk.

Kerajaan menandatangani perjanjian perolehan 18 pesawat berkenaan pada 2023 bagi memainkan peranan utama sebagai pesawat latihan pejuang lanjutan serta operasi tempur ringan, sekali gus menggantikan armada pesawat Hawk yang dijadualkan ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya menjelang 2028.