Miri: Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes khianat menyimbah cat merah pada sebuah rumah di sini yang dipercayai berpunca daripada tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata, kes itu membabitkan kejadian kira-kira 10 malam, 21 Oktober lalu, apabila dua lelaki tidak dikenali datang ke kediaman berkenaan sebelum menyimbah cat merah pada pintu pagar dan lantai bahagian hadapan rumah.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.11 petang, 22 Oktober lalu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.
"Siasatan awal mendapati pengadu menerima beberapa mesej daripada individu menggunakan nama 'Kelvin' yang menuntut bayaran hutang pinjaman wang dalam talian didakwa dibuat anak lelakinya.










