Kuala Lumpur: Negeri Sembilan FC (NSFC) terus tercari-cari kemenangan 'sebenar' pertama dalam Liga Super pada musim ini selepas tewas 1-3 di tangan DPMM FC pada aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Ini menyaksikan NSFC tewas dalam tiga perlawanan dan satu-satunya kemenangan mereka adalah kemenangan 'percuma' 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada perlawanan pertama liga sebelum ini, apabila lawan tidak turun ke padang kerana kekurangan pemain.
DPMM FC pula terus mengekalkan momentum dengan kemenangan keempat dan mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga dengan 12 mata.
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan tercari-cari rentak dan melancarkan serangan bagi memburu gol pembukaan.









