TEMPOH kurang seminggu sebelum Sabtu depan yang menyaksikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijadual berlangsung, dianggap waktu kritikal bagi semua parti bertanding menampilkan calon terbaik masing-masing.

Rundingan agihan kerusi antara parti yang mahu membentuk pakatan dilihat masih berterusan dan boleh berterusan sehingga Jumaat depan, sekali gus perubahan saat akhir barisan calon masih boleh berlaku.

Mengimbau PRN Negeri Sembilan pada Ogos lalu, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid antara nama digugurkan saat akhir, biarpun sebelum itu beliau penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh.

Kerusi beliau diambil alih Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang berpindah dari DUN Senaling.