KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menasihati penumpang yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula hari ini hingga 1 November supaya memperuntukkan masa perjalanan tambahan berikutan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku sepanjang perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia (MotoGP).
Menerusi hantaran Facebook, syarikat penerbangan itu memaklumkan kesesakan dan kelewatan juga dijangka berlaku di kawasan sekitar dan sepanjang lebuh raya menghala ke KLIA semasa acara itu berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Malaysia Airlines menjelaskan bahawa laluan ke lapangan terbang terus dibuka sepenuhnya, namun penumpang digalakkan untuk memantau maklumat trafik terkini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain merancang laluan alternatif jika perlu dan mempertimbangkan penggunaan perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres.






