KUALA LUMPUR: AEON Bank (M) Bhd (AEON Bank) memperkenalkan ciri baharu dikuasakan kecerdasan buatan (AI), Financial Purr-Sona dalam aplikasi digitalnya bagi membantu pelanggan memahami corak perbelanjaan, mengurus kewangan serta membentuk tabiat menabung dengan lebih berkesan.

Ciri dinamik itu dikuasakan oleh Neko Sensei, mentor kewangan peribadi berpacukan AI, menganalisis aktiviti dan data kewangan pelanggan untuk menyediakan panduan bersesuaian dengan gaya hidup masing-masing.

Menerusi pendekatan berkenaan, pelanggan bukan saja dapat mengenal pasti tabiat kewangan mereka, malah menerima bimbingan secara interaktif bagi meningkatkan keupayaan mengurus perbelanjaan dan simpanan harian.

AEON Bank dalam kenyataan memaklumkan, Financial Purr-Sona dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin mengutamakan kemudahan digital dalam pengurusan kewangan peribadi.