GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) bersamaan sebulan gaji kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri yang akan dibayar Disember ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ia sebagai penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan penjawat awam dalam memastikan pentadbiran serta pembangunan negeri terus mencapai kecemerlangan.
Kerajaan negeri turut mengumumkan imbuhan secara sekali beri RM300 kepada beberapa kumpulan penerima membabitkan sektor pendidikan agama dan pendidikan persendirian.
Beliau berkata, penerima imbuhan terdiri penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta kakitangan kedua-dua institusi berkenaan.








