KUALA LUMPUR: Peluasan sistem pembayaran tol JustGO kepada 966 lorong di rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjadi langkah penting ke arah pelaksanaan sistem tol aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) di negara ini.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Wayarles@UKM, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nor Fadzilah Abdullah, berkata peralihan daripada lorong khusus mengikut kaedah pembayaran kepada sistem berasaskan kenderaan mampu mengurangkan kesesakan serta risiko pertukaran lorong pada saat akhir.
Beliau berkata, sistem konvensional memerlukan lorong berbeza bagi kad, SmartTAG dan RFID, menyebabkan pengguna perlu menyusun perjalanan mengikut kaedah pembayaran masing-masing.










