KLUANG – Sebanyak lapan skrin paparan LED milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang dipasang di sekitar bandar ini dipercayai digodam sehingga memaparkan kandungan lucah pada Khamis.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun pada Jumaat.Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan oleh kakitangannya mengenai kejadian tersebut sebelum menerima beberapa kiriman menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi tangkap layar dan rakaman video paparan kandungan lucah pada skrin LED berkenaan."Susulan kejadian itu, pihak pengadu menghubungi pembekal untuk mendapatkan pengesahan sebelum mengambil tindakan memutuskan bekalan kuasa kepada skrin LED terbabit bagi menghentikan paparan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.Menurut Bahrin, pihak polis memandang serius kejadian itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.