PETALING JAYA: Penumpang yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini hingga Ahad ini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal berikutan jangkaan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar lapangan terbang itu.
Malaysia Airlines memaklumkan, kesesakan dijangka berlaku di kawasan sekitar KLIA serta lebuh raya menuju ke lapangan terbang berkenaan sempena penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia PETRONAS 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
“Walaupun semua laluan masuk ke KLIA kekal dibuka, penumpang digesa memantau perkembangan trafik semasa yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang ramai turut dinasihatkan merancang laluan alternatif atau menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres bagi memastikan mereka tiba tepat pada waktunya di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.








