PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyalurkan kira-kira RM700,000 menerusi Zakat Wakalah dan dana inisiatif tanggungjawab korporat Islam bagi memperkasa hampir 2,000 pelajar Tingkatan Lima daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan menerusi Program Pusat Tuisyen MADANI.

Dana itu digunakan bagi pelaksanaan program termasuk penyediaan bahan pengajaran, makanan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan pelajar dari 50 sekolah di Semenanjung Malaysia bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia memberi tumpuan kepada tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.