Kuala Lumpur : Penyanyi nasyid terkenal, Nazrey Johani memaklumkan berasa sedih apabila menyanyikan lagu Assolatuwasalam dalam sesi latihan untuk persiapan konsert The Rayhan Syukur 2026, esok.

Nazrey, 55, berkata, lagu ini mengembalikan kenangan ketika dia bersama Raihan pada awal kemunculan mereka pada 1996.

"Bila kami mulakan latihan dengan lagu pertama, Assolatuwasalam, saya sebenarnya dah rasa sebak, sebabnya saya terkenal masa saya bersama Raihan. "Dulu kami menyanyikan lagu-lagu ini dalam konsert serta pernah beraksi di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan pelbagai lagi. Secara tak langsung saya sedih mengenangkan masa lalu," katanya. Nazrey yang kini bersama Amran Ibrahim dan Zulfadzli Mustaza (A Fad) menubuhkan ANA The Rayhan berkata, perasaannya semakin bertambah sedih tanpa dua lagi anggota asal Raihan. "Tapi inilah kehendak Allah SWT yang Allah pilih untuk buat konsert Syukur 2026 ini. Dah tentulah kita boleh katakan Allah izinkan perkara ini sebab kita manusia tak mampu buat apa-apa. "Semuanya Allah yang menentukan. Dulu saya tak pernah ada niat pun nak mengundur diri. Tiba-tiba keadaan membuka jalan untuk saya mengundur diri. "Saya pun tak mahu perkara itu berlaku. Satu ketika, saya pernah ditanya, sampai bila nak bersama Raihan? Saya jawab Insya-Allah sampai mati," katanya. Menurutnya, hari ini dia kembali kepada The Rayhan yang dianggotai, Amran bekas anggota asal Raihan dan Afad yang pernah bersama kumpulan terbabit. "The Rayhan adalah sebutan nama bahasa Inggeris dan dalam bahasa Melayu sebutannya Raihan. Saya pun tak pernah tahu selepas 20 tahun, Afad telefon saya untuk ajak bergabung tubuhkan kumpulan. "Tujuannya untuk buat show sama-sama. Memang kita tak sebut pun yang kita nak buat kumpulan baru untuk kembalikan nostalgia lalu. "Rupa-rupanya Allah mahu kita bersatu untuk melantunkan lagu-lagu Raihan. Jadi kenangan itu datang semula. Saya rasa bersyukur sebab tak tahu lagi berapa lama nak hidup," katanya yang pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun lalu. Konsert The Rayhan Syukur 2026 akan berlangsung pada esok (Sabtu 31 Oktober) di Megastar Arena Kuala Lumpur.Konsert anjuran Bintang Batu Event bersama Magnificent G Venturesdan Million Delight Sdn Bhd ini dijangka menampilkan lebih 20 karya malar segar kumpulan Raihan. "Selain itu ia juga akan diserikan dengan kemunculan penyanyi popular era 1980-an, Herman Tino dan penyanyi Indonesia, Opick sebagai artis undangan.#kw nazrey