KUALA LUMPUR: Bermula dengan kayu hoki yang diperkenalkan bapanya ketika berusia tujuh tahun, perjalanan Haziq Haiqal Daus kini membawanya jauh dari kampung halaman di Sandakan, Sabah, hingga ke pentas Eropah bersama kelab Jerman, HTC SW Bonn.
Pada usia 23 tahun, pemain posisi penyerang itu kini mengembangkan karier dalam Liga Hoki Jerman Divisyen Tiga selepas menerima tawaran yang disampaikan jurulatih hoki Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sejak tiba di Jerman penghujung Ogos lalu, Haziq sudah meledak tiga gol dalam lima perlawanan awal.
Namun, kejayaannya menembusi arena antarabangsa tidak berlaku dalam sekelip mata. Bapanya, Daus Sultan, 55, yang pernah mewakili Sabah dalam sukan hoki dan kini bertugas sebagai guru besar di Beluran, menjadi insan pertama memperkenalkan sukan itu kepadanya.








