KUALA LUMPUR: Kerajaan memuktamadkan penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion kepada pembiayaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS), sekali gus membolehkan sebahagian dana berkaitan projek saluran paip gas yang ditamatkan sebelum ini dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur asas.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian penyaluran semula pinjaman itu antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan Export-Import Bank of China (CEXIM).
Perjanjian berkenaan membabitkan pembiayaan NPWSS, projek infrastruktur bekalan air bersepadu yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di utara Perak dan Pulau Pinang.








