KUALA NERUS: Sebak dan pilu menyelubungi hati ibu bapa Allahyarham Suraya Hassan apabila naik ke pentas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-24, semalam untuk menerima sijil anumerta anak mereka itu yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan rakannya daripada lemas.

Sijil yang sepatutnya diterima sendiri oleh graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dengan kepujian itu kini menjadi kenangan paling berharga buat keluarganya selepas dia meninggal dunia dalam kejadian di Su­ngai Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, pada 19 April lalu.

Bagi bapanya, seorang pesara polis, Hassan Sarbini dan ibunya, Rohanah Md. Rejab, dari Batu Pahat, Johor, detik itu hadir bersama rasa bangga terhadap pencapaian anak mereka namun pada masa sama me­ngundang kerinduan yang sukar diungkap­kan.