Kangar: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak akan menjejaskan kekuatan PAS, sebaliknya berpotensi membuka ruang kepada rundingan untuk membentuk kerjasama politik baharu, termasuk dengan UMNO.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Izmer Yusof, berkata kekuatan PAS selama ini banyak bertunjangkan jentera parti, struktur akar umbi dan sokongan pengundi.

Katanya, sejarah membuktikan PAS mempunyai pengalaman panjang serta daya tahan tinggi untuk bergerak dalam pelbagai kerangka gabungan politik, termasuk Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Gagasan Sejahtera.

"Kekuatan PAS tidak bergantung sepenuhnya kepada kewujudan sesebuah gabungan. Bagi parti rakan seperti WAWASAN, MIPP dan GERAKAN, mereka masih boleh meneroka bentuk gabungan baharu bersama PAS.