HARI dan Bulan Akademia yang disambut pada 5 Oktober setiap tahun bukan sekadar ruang untuk menghargai sumbangan pensyarah.

Bahkan, sambutan ini juga menjadi kesempatan untuk meneliti semula makna sebenar menjadi seorang ahli akademik, khususnya dalam dunia universiti yang semakin dipengaruhi tuntutan prestasi dan pengukuran kuantitatif.

Dalam persekitaran universiti hari ini, pencapaian ahli akademik sering dinilai berdasarkan jumlah penerbitan, sitasi, geran penyelidikan dan kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa.

Ukuran ini penting untuk meningkatkan mutu penyelidikan serta mengukuhkan reputasi institusi. Namun, masalah timbul apabila pencapaian akademik terlalu tertumpu pada angka sehingga universiti seolah-olah menjadi kilang penerbitan yang mengejar indeks dan memenuhi sasaran tahunan.