NIBONG TEBAL : Sebanyak 38 kes penggunaan bahan terlarang termasuk dadah berjaya dikesan khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan seperti lori dan bas menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, jumlah itu termasuk tiga kes penggunaan dadah yang berjaya dikesan dalam operasi terbaharu yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), malam tadi.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes tersebut melibatkan seorang pemandu bas kilang, pemandu lori serta seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan pemeriksaan ketika operasi sedang berjalan.

Katanya, pemandu bas kilang berusia 45 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu dan morfin selepas satu ujian saringan air kencing dijalankan manakala pemandu lori serta penunggang motosikal yang masing-masing berusia 34 dan 38 tahun pula positif dadah jenis morfin dan ganja.