Istanbul: Pembantu Kremlin Yury Ushakov berkata pada Rabu Presiden Rusia Vladimir Putin memberitahu Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) Steve Witkoff semasa perbincangan bahawa Moscow sedia untuk menyambung semula rundingan damai tiga pihak mengenai Ukraine pada November, lapor Anadolu Ajansi.

"Presiden kami memaklumkan Steve Witkoff bahawa kami, secara prinsipnya, bersedia untuk menyambung semula rundingan tiga pihak berkenaan sekitar 10 November," kata Ushakov kepada pemberita di St Petersburg, Rusia, lokasi Putin menerima kunjungan utusan AS itu untuk perbincangan yang berlangsung selama kira-kira tiga jam pada awal Rabu.

Ushakov berkata kesediaan Moscow untuk rundingan trilateral itu secara khususnya menyentuh isu pembentukan "sistem keselamatan" pascaperang bagi Moscow dan Kyiv, sambil menambah bahawa situasi di sekitar Ukraine menjadi topik utama perbincangan.