California: Meta Platforms mencapai persetujuan dengan Mark Zuckerberg bagi memastikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) itu terus menetap di California selepas beliau memberi amaran bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan negeri yang menempatkan ibu pejabat syarikat itu sekiranya pengundi meluluskan cadangan cukai kekayaan bulan depan.
Menerusi perjanjian itu, Zuckerberg akan menerima saham tanpa hak mengundi yang boleh dijual bagi menampung bil cukai berjumlah berbilion dolar sekiranya cadangan berkenaan diluluskan. Sebagai balasan, beliau bersetuju untuk terus menetap di California, atau di lokasi ibu pejabat Meta berada, selama lapan tahun, menurut Meta pada Rabu.
Zuckerberg, individu keenam terkaya di dunia menurut Forbes, memberitahu Meta bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk memindahkan kediaman utamanya ke luar California kerana Proposition 40, iaitu langkah undian yang digelar 'cukai kekayaan California', boleh menyebabkan beliau menanggung liabiliti cukai yang amat besar dan berpotensi memaksanya menjual saham yang mempunyai hak mengundi untuk membayarnya.










