ISTANBUL: Pembantu Kremlin, Yury Ushakov, semalam berkata Presiden Russia, Vladimir Putin, memberitahu Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, ketika perbincangan bahawa Moscow bersedia untuk menyambung semula rundingan damai tiga pihak mengenai Ukraine pada November depan, lapor Anadolu Ajansi.
"Presiden kami memaklumkan kepada Witkoff bahawa kami, secara prinsipnya, bersedia untuk menyambung semula rundingan tiga pihak berkenaan sekitar 10 November depan," kata Ushakov.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di St Petersburg, Russia - lokasi Putin menerima kunjungan Witkoff untuk perbincangan yang berlangsung selama kira-kira tiga jam pada awal semalam.
Ushakov berkata, kesediaan Moscow untuk rundingan trilateral itu secara khususnya menyentuh isu pembentukan 'sistem keselamatan' pascaperang bagi Moscow dan Kyiv, dengan situasi di sekitar Ukraine menjadi topik utama perbincangan.









