KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan memperketat penguatkuasaan dasar pekerja asing bagi memastikan pengambilan mereka dihadkan kepada sektor yang diluluskan dan benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja, khususnya pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar (3D).

Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata laporan mengenai pekerja asing yang mengisi pekerjaan arus perdana berurusan secara langsung dengan pelanggan, termasuk juruwang, pembantu jualan dan pekerja perkhidmatan makanan, menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan dasar sedia ada.

Katanya, pengambilan pekerja asing perlu berasaskan keperluan sebenar pasaran buruh, selain pemantauan ketat dan tindakan terhadap majikan serta ejen yang menyalahgunakan kelulusan atau melanggar sekatan sektor.