KUALA LUMPUR: Saham RedPlanet Bhd dibuka pada 27 sen sesaham ketika memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini meningkat 42.1 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 19 sen.

Syarikat penyedia penyelesaian teknologi geospatial itu menjana hasil kasar RM13.3 juta menerusi terbitan 70 juta saham baharu pada harga IPO 19 sen sesaham.

Daripada jumlah itu, RM8.13 juta diperuntukkan bagi pengembangan perniagaan manakala RM2.38 juta digunakan sebagai modal kerja dan RM2.80 juta untuk membiayai perbelanjaan berkaitan pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE.

Pengarah Urusannya, Lian Wah Seng, berkata peruntukan berkenaan akan memperkukuh keupayaan kewangan syarikat untuk melaksanakan projek berskala lebih besar khususnya apabila berjaya memperoleh kontrak daripada buku tendernya yang semakin meningkat.